Nostalgia Dato' Razali Ismail


Beliau lahir pada 25 Jun 1949. Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang sebelum meneruskan pengajian di  Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang sejarah. 


Setelah mengajar beberapa tahun, beliau tidak melepaskan peluang untuk membuat Sarjana Pendidikan di Birmingham, United Kingdom Memulakan kerjaya sebagai guru, beliau juga merupakan pensyarah di beberapa buah maktab perguruan di Malaysia. Beliau menjadi timbalan pengetua di Maktab Perguruan Kota Bharu sebelum dilantik sebagai pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan kemudiannya di Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu. 


Setelah itu, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran pada 2002.Bertanding Pilihanraya Umum 2004, beliau berjaya menyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu. 


Beliau meninggal dunia pada 28 November 2008 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland, Pahang. Pada 16 Januari 2009, hasrat kerajaan bagi mengabadikan Allahyarham Dato' Razali Ismail dengan jasa dan sumbang bakti beliau kepada anak didik Terengganu, Datuk Seri Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia 2008 telah merasmikan nama Institusi Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu. Beliau merupakan salah seorang tokoh politik yang berjiwa rakyat.